14 August 2011

Media Pengajaran Dan Pelajar

Fungsi utama media pengajaran adalah bagi memudahkan para pelajar memahami isi pengajaran dan mencapai objektif pengajaran guru. Media pengajaran yang berkesan haruslah dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran justeru  itu, guru-guru yang mempunyai daya kreativiti, bijak memilih bahan yang sesuai sama ada bahan yang digunakan bahan elektronik atau bukan elektronik, dan  mengaplikasikan kaedah pengajaran yang terbaik. 

Antara perkara penting yang perlu diperhatikan ialah sejauh manakah alat berkenaan dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar-pelajar. Keberkesanan Bahan Bantu Mengajar bukan sahaja ditentukan oleh kualitinya tetapi juga oleh teknik penggunaannya dalam situasi bilik darjah. 

Terdapat berbagai bentuk media yang boleh digunakan seperti peralatan elektronik: komputer, televisyen, radio dan sebarang alat audio video. Peralatan bukan elektronik  juga berkesan seperti peta, carta, surat khabar, bahan manipulatif, tangram, papan paku, bongkah kayu dan sebagainya. Yang penting adalah bagaimana media tersebut dapat memberi kesan yang baik kepada pelajar sehingga perubahan dari segi kognitif dan tingkah laku berlaku. Penggunaan media pengajaran dapat mengatasi masalah seperti disiplin pelajar, kekurangan masa, kawalan kelas, dan kurang minat pelajar terhadap pengajaran guru. Media pengajaran bukan sahaja dapat meningkatkan rasa ingin tahu di kalangan pelajar, bahkan dapat menambahkan variasi kepada teknik pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Menurut Yusup Hashim (1977), dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah, pelbagai media pengajaran digunakan sebagai satu cara untuk menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan. Mok Soon Sang (1996), pula mengatakan bahawa penggunaan media pengajaran dalam proses pengajaran adalah amat penting. Ini kerana ia dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan mudah, cepat serta menarik. Media pengajaran yang disediakan mestilah bersesuaian dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Manakala isi kandungan haruslah tepat dan berkait rapat dengan topik yang hendak diajar.

Pada amnya, cara menggunakan media pengajaran hendaklah diuruskan dengan betul dan cekap supaya pelajar dapat memahami dan mengekalkan konsep atau fakta matematik dalam ingatan mereka. Selain sebagai bahan tambahan kepada penyampaian pengajaran secara lisan oleh guru, penggunaan media pengajaran sebenarnya turut memberi peluang kepada pelajar memperolehi pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria, iaitu deria penglihatan, deria sentuh, dan deria pendengaran. Sebagai contoh media pengajaran untuk pengajaran dan pembelajaran matematik termasuklah:
  1. Bahan-bahan pembilang seperti manik-manik berwarna, blok-blok kayu pelbagai    bentuk, penyedut minuman, butang, kayu aiskrim dan sebagainya.
  2. Bahan berbentuk kertas seperti kad, carta, kertas graf dan sebarang kertas.
  3. Alat-alat pengukuran seperti cawan mainan, tin dan botol.
  4. Alat permainan dan teka teki matematik.
  5. Alat elektronik seperti computer, kalkulator dan internet
  6. Model-model pertalian geometri seperti papan paku atau geoboard,
  7. Tangram, model geometri kayu ataupun plastik.

Ciri-ciri Video Yang Berkesan Untuk Pnp

Era teknologi ICT memberikan kelebihan kepada pendidikan untuk memberikan yang terbaik dalam ruang pembelajaran. Penggunaan video sebagai media pengajaran memberikan satu pengalaman baru kepada sebilangan pelajar. Media video sama ada ditayangkan melalui LCD atau dipancarkan terus melalui televisyen dapat membawa pelajar ke mana-mana sahaja, terutama sekali jika tempat atau peristiwa yang ditayangkan itu terlalu jauh untuk dilawati, atau merbahaya. Dengan penayangan video, pelajar dapat merasa seolah-olah mereka berada atau turut serta dalam suasana yang digambarkan.

Sebagai contoh, proses penjanaan elektrik dapat ditunjukkan kepada pelajar melalui video. Ianya dapat membantu pelajar membayangkan cara kerja stesen janakuasa elektrik di samping memberi pengalaman kepada para pelajar secara visual. Menurut Norizan (2002) di dalam Norhaziana (2005), beliau menyatakan bahawa sesuatu media berbentuk simulasi adalah perisian yang memberi gambaran situasi sesuatu keadaan. Pengguna akan seolah-olah berada di tempat kejadian dan boleh bertindak balas terhadap keadaan tersebut.

Video juga dapat memanipulasi masa samada mempercepatkan waktu (Contoh: percambahan biji benih) atau melambatkan waktu (Contoh: memperlahakan pergerakan proses seperti mesin). Video juga dapat membantu dalam mengubah sikap seseorang pelajar dengan menarik minat mereka sewaktu mengikuti pembelajaran. 

Disebabkan video memaparkan imej sebenar berbanding animasi, ianya lebih "dipercayai" terutama di kalangan kanak-kanak. Seringkali video digunakan sebagai agen pemujuk  (persuasive) dan ianya lebih berkesan jika dibandingkan dengan kaedah syarahan. Sebagai contoh dalam mengajar pelajar mengenai gula dalam diet. Contoh yang menunjukkan kesan daripada mengambil makanan yang mengandungi terlalu banyak gula dapat membantu pelajar mengubah sikap untuk mengurangkan pengambilan gula dalam diet mereka.

Bagaimanakah yang dikatakan video yang berkesan untuk pnp?
  1. Video yang digunakan hanya untuk tempoh 3-5 minit tetapi mencakupi kandungan yang perlu.
  2. Video yang terus fokus kepada kandungan pengajaran
  3. Berlatarbelakangkan muzik yang sesuai dan mempunyai kesan bunyi sesuai dengan paparan.
  4. Gambar jelas dengan syot yang boleh menjelaskan imej.
  5. Tiada gangguan iklan, perkataan atau simbol yang tidak relevan
  6. Berwarna, bunyi audio dan plot yang mudah.

 

Pengunjung Blog

Flag Counter

Ahli Blog

TRAFIK