Test Footer

19 October 2011

Kawal penggunaan komputer oleh anak-anak dengan aplikasi Windows

Bingung dengan penggunaan komputer yang sukar dikawal oleh anak-anak. Gunakan aplikasi Windows untuk menentukan masa penggunaan komputer. Penerangan ini khas untuk Windows 7 dan hampir sama dengan Windows Vista. Untuk memulakannya, gunakan built-in parental controls, log in dengan akaun administrator privileges and klik Start>Control Panel>User Accounts and Family  
 
Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman berikut: http://my-cikgu.blogspot.com/

13 October 2011

ICT/TMK dan peranannya dalam pendidikan di Malaysia

Pengenalan
 
ICT adalah merupakan gabungan kemajuan dalam komunikasi teknologi elektonik mikro dan telekomunikasi untuk menyalur maklumat supaya dapat membuat keputusan yang tepat. Dalam pendidikan, ICT boleh digunakan untuk mengumpul, menyimpan, memproses dan menyalurkan serta menyebarkan maklumat secara pantas seperti hantaran elektronik (e-mail) atau CD Rom untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran. ICT boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan teknologi komunikasi seperti pengajaran berasaskan komputer. Kebolehan menstruktur dan menyusun maklumat untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran merupakan kemahiran yang perlu ada pada setiap orang guru dalam zaman maklumat ini. Sistem pendidikan kini mengalami perubahan berikutan dengan perkembangan teknologi komputer dan telekomunikasi. Secara tidak langsung ia akan mempengaruhi kurikulum serta proses pengajaran dan pembelajaran dan sekolah akan dibanjiri oleh maklumat yang dibawa oleh teknologi-teknologi maklumat baru. Oleh itu proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan pendekatan yang lebih inovatif untuk mengambil peluang daripada perkembangan teknologi maklumat serta untuk menghadapi cabaran ini, guru, pelajar, pusat sumber pendidikan,ibu bapa dan Kementerian Pendidikan mestilah menilai semula peranan masing-masing bersesuaian dengan revolusi zaman maklumat.

 
Peranan Guru, Pelajar, Pusat Sumber Pendidikan dan Kementerian Pendidikan
 
Menurut Reigelath (1987) semakin jauh kita berada dalasm masyarakat yang berteknologi tinggi, cepat berubah dan berorientasikan maklumat, semakin rendah struktur sistem pendidikan. Berdasarkan kenyataan ini kita perlu mengubah dan menilai semula cara pentadbiran sekolah, pendekatan dan cara murid belajar untuk disesuaikan dengan arus perkembangan ICT kini. Guru memainkan peranan penting dalam mengubah pendekatan dan cara murid belajar.  Pertama guru berperanan bukan lagi sebagai sumber utama memberi dan menyampaikan maklumat tetapi bertindak sebagai pemudah cara atau pengurus untuk mendapatkan maklumat.  Kedua guru harus mempunyai kebolehan menyusun semula ledakan maklumat yang diperolehi dari berbagai sumber supaya dapat dijadikan maklumat yang berstruktur untuk tujuan pengajaran. Pengetahuan dalam reka bentuk pengajaran boleh membantu guru membina bahan-bahan pembelajaran seperti hipermedia atau multimedia. Ketiga guru-guru harus tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, hantaran melalui telesidang audio, video dan komputer untuk memudahkan proses penerimaan, penyaluran atau penyebaran maklumat kepada pelajar. Kemudahan yang dibekalkan oleh teknologi-teknologi telekomunikasi ini dapat meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran. 


Manakala peranan pelajar pula untuk mendapat faedah dari perkembangan teknologi maklumat ini, 

Pertama pelajar harus bijak mengesan, mencari, menilai, memilih dan menggunakan maklumat yang sesuai secara berkesan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat keputusan tanpa mengira daripada mana sumber tersebut diperolehi. Pelajar juga harusmempunyai kemahiran membaca, belajar dan menjalankan ujikaji serta penyelidikan untuk menjadi pengguna maklumat yang berkesan.

Kedua pelajar hendaklah mendapatkan dan melengkapkan diri dengan maklumat yang sebanyak mungkin sesuai dengan matlamat kerajaan mewujudkan masyarakat yang kaya dengan maklumat menjelang tahun 2020.

Ketiga, pelajar juga harus tahu menggunakan teknologi maklumat yang terdapat di pusat sumber sekolah. Pelajar tidak hanya bergantung kepada guru untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tetapi hendaklah berusaha sendiri untuk mendapatkannya. Pendekatan pengajaran akan berubah daripada tingkahlaku dan kognitif ke konstruktif di mana pelajar digalakkan berfikir dan membina model mental sendiri menggunakan teknologi maklumat. Cara pelajar belajar tidak lagi terikat dalam bilik darjah tetapi belajar di pusat sumber elektronik melalui maklumat yang disalurkan oleh satelit ke pusat sumber elektronik.


Pusat Sumber Pendidikan (PSP) juga memainkan peranan dalam memastikan para pelajar dan kakitangan menjadi pengguna idea serta maklumat yang berkesan dengan :
  1. Menyediakan kemudahan yang membolehkan akses fizikal dan intelek kepada bahan-bahan pelbagai format.
  2. Menyampaikan pengajaran bagi memupuk kecekapan dan minat untuk membaca, menonton, menggunakan maklumat dan idea.
  3. Memberikan kepimpinan, pengajaran dan bantuan nasihat dalam teknologi pengajaran dan teknologi maklumat serta penggunaan prinsip-prinsip reka bantuk pengajaran yang baik.
  4. Menyediakan sumber-sumber dan aktiviti-aktiviti yang dapat menyumbangkan kepada pembelajaran sepanjang hayat.
  5. Menyediakan tempat yang dapat berfungsi sebagai pusat maklumat di sekolah yang mana kegiatan pembelajaran bersepadu antara semua mata pelajaran, semua tahap dan aktiviti pembelajaran seluruh sekolah dapat dijalankan.
  6. Mengadakan berbagai sumber dan aktiviti pembelajaran yang menggambarkan kepelbagaian pengalaman, pendapat perspektif sosial dan kebudayaan yang dapat menyokong konsep kebebasan intelektual dan akses kepada maklumat dalam sebuah masyarakat.

  Bagi Kementerian Pendidikan pula memainkan peranan penting untuk menghadapi zaman globalisasi ini. Kementerian perlu memasukkan kurikulum ICT dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) secara menyeluruh. Kementerian Pendidikan, juga harus menyelaras dan bekerjasama di antara pengeluar atau penerbit filem atau video dokumentari seperti Jendela Dunia, Hari Dalam Sejarah dan sebagainya agar program-program pendidikan ini boleh digunakan oleh institusi-institusi pendidikan. Langkah ini akan memberi peluang kepada pelajar memperolehi maklumat yang terkini dan memperkayakan lagi pengalaman pembelajaran pelajar. Selain peranan guru,pelajar, PSP , Kementerian Pendidikan, ibu bapa dan masyarakat setempat juga harus prihatin terhadap perkembangan ICT serta kesannya terhadap pembelajaran seumur hidup. Proses pembelajaran tidak hanya bergantung kepada bilik darjah tetapi akan sentiasa dipengaruhi oleh perkembangan ICT. Peluang-peluang pembelajaran pula tidak terhad dan terkongkong oleh umur, tempat, masa dan bentuk kerana ICT melahirkan suasana pembelajaran sepanjang hayat.  


KOMPUTER  DALAM  PENDIDIKAN PENGENALAN
 
     Perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan. Aspek teknologi telah digabungkan dalam kurikulum sekolah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif,dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini. Pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan berhasrat untuk  mengujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan , dan perlaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC). Perlaksanaan Sekolah Bestari akan membuka ruang seluas-luasnya kepada  teknologi komputer yang akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan. Suasana ini akan  mengurangkan jurang antara mereka yang berada dan berupaya menggunakan teknologi terkini di rumah  dengan mereka yang kurang berada.

 PENGGUNAAN KOMPUTER  DALAM  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
MATEMATIK
 
    Penggunaan komputer dalam pengajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi  tajuk yang diajar. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh merubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran  matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang pelajar tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah.     Masalah matematik harus diterjemahkan kepada sebutan dan bahasa matematik sebelum ianya diselesaikan. Langkah terjemahan seperti ini memerlukan fahaman yang lengkap terhadap struktur konsep yang terkandung dalam masalah tersebut. Keadaan ini telah enyebabkan kesukaran pembelajaran di kalangan setengah-setengah pelajar. 

    Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan (Henderson and Landersman, 1992) mendapati :
  1. Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya     sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.
  2. Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami      konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.
  3. Pencapaian pelajar dalam peperiksaan akhir menunjukkan peningkatan yang ketara.
  4. Kumpulan yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama dan dapat menggunakannya dalam bidang-bidang lain.
    Dalam pendidikan matematik, komputer boleh berperanan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti berikut:-
  1. Penghasilan Bahan Kurikulum.
  2. Latih Tubi.
  3. Tutorial.
  4. Ulangkaji
  5. Pemulihan dan Pengayaan.
  6. Simulasi
  7. Pengiraan.
  8. Alat Bantu Mengajar
      Selain daripada itu, menurut (Baharuddin & Mohd, 1995) komputer banyak memberi kebaikan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya :-
  1. Memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing.
  2. Memudah dan mempercepatkan kefahaman sesuatu konsep matematik.
  3. Menjadikan aktiviti pembelajaran menarik dan menyeronokkan
  4. Membekalkan lebih banyak maklumat dan pengetahuan kepada pelajar
  5. Membantu pelajar mengulangi sesuatu isi pelajaran berulang kali
 
KESIMPULAN
    Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting bagi mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk mancapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi ( Wan Zahid, 1996 ). Usaha perlu dibuat dan penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan sesuatu mengikut acuan pemikiran kita sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain. Selagi kita bertaraf ‘pengguna’, selagi itulah kita tidak mampu merubah apa-apa.




14. Blog Hanz


15. Cikgu-zaki



 

Pengunjung Blog

Flag Counter

Ahli Blog

Apps Pembelajaran

TRAFIK